Pageshttps://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214808197358211&id=1824180469

WHATS ON

2017 - VISIT TAMBUNAN YEAR
SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

08 December 2009

RAKAN KONGSI - SIRI 3

-
HARI JADI DI HOSPITAL
-
Selepas berhari raya Aidil Adha di hospital SMC pada 27hb November 2009 (cerita dalam siri 1), sekali lagi rakan kongsi aku merayakan hari ulang tahunnya yang ke 43 pada 07 Disember 2009 di hospital Likas. Setiap tahun anak-anak merayakan hari ulang-tahun orang tua mereka di rumah dengan menyediakan kad ucapan harijadi sehari sebelum hari jadi sebenar. Keesokkan harinya, pagi-pagi lagi mereka berbaris hendak menyerahkan kad selamat harijadi kepada orang tuanya. Setiap anak-anak yang menyerahkan kad ucapan harijadi, rakan kongsi aku tidak melepaskan peluang memeluk mesra anak-anaknya. Sambil membuka dan membaca kad buatan sendiri, rakan kongsi akan memeluk anak-anaknya tanda terima kasih atas ingatan mereka.
-
Melihat telatah anak-anak itu, aku tersenyum terhibur dengan pelbagai telatah yang dipamerkan. Si Bungsu (anak bungsu) pun tidak ketinggalan membuat kad walaupun hasilnya tidak difahami. Lukisan yang biasa dilukis oleh si Bungsu hanyalah lukisan manusia berbentuk lidi.
-
Tapi senario kali ini berbeza. Anak-anak rakan kongsi seolah-olah lupa harijadi orang tua mereka. Atau mungkin juga tak terlekar sebarang idea di minda kerana masing-masing sugul mengenangkan orang tua mereka telah memberitahu terlebih dahulu bahawa mereka meraikan hari jadi kali ini di hospital.
-
Aku menghantarnya ke hospital waktu zohor bermula.
-
"Mau pigi mana lagi?", tanya si bungsu.
"Pi hospital", jawab rakan kongsi aku ringkas sambil memeluk si bungsu diikuti dengan anak-anaknya yang lain.
-
Sesampai di hospital kelihatan ramai sungguh pesakit yang menunggu giliran masuk bilik wad. Sementara menunggu giliran mereka masuk bilik wad, pesakit ditempatkan diluar bilik iaitu diruang laluan orang ramai.
-
"Hari ini wad semua penuh kerana ramai pesakit masuk wad", kata seorang jururawat bertugas.
-
Rakan kongsi aku ditempatkan di tingkat 4, Kenanga 3, bilik 15.
-
"Dulu ada seorang rakan sebilik bersama aku di bilik ini. Apa kabar dia?" rakan kongsi ku sempat bertanya pada jururawat bertugas.
-
"Dia baru meninggal dunia dua hari lalu", kata jururawat itu.
-
Rakan kongsi aku terpaku terkejut. Sedih mengenangkan kembali pengalaman mereka dalam sebilik. Pelbagai gambaran yang berlegar di kepala rakan kongsi bila mengetahui rakan sebiliknya telah pergi buat selama-lamanya.
-
Sebenarnya aku dah tahu lebih awal tentang pemergian rakan sebilik rakan kongsi ku kerana suaminya sahabat aku sejemaah di masjid. Dan bukan seorang sahaja pesakit yang meninggal dunia baru-baru ini tetapi sudah tiga orang. Seorang dari Lahad Datu dan seorang dari Kuala Penyu dan yang terkini isteri kawan aku. Jenazah seorang lagi dimandikan di masjid tempat aku bersantai. Selesai dimandikan, aku turut mengangkat jenazah ke ruang solat utama untuk disolatkan. Berlinang lagi air mata ku. Aku tak tergamak memberitahu kepada rakan kongsi ku bahawa kamilah yang mengurus jenazah tersebut.
-
Aku bertambah gusar bila menerima beberapa berita yang disampaikan kepada aku. Aku dapat membayangkan nasib dan masa depan rakan kongsi ku yang mengalami penyakit yang sama. Hati bertambah sayu tapi aku terus memberi keyakinan kepada rakan kongsi ku supaya tabah. Masih ada Allah untuk tempat meminta bantuan.
-
"Allah Maha Penyembuh", kata ku memberi keyakianan kepadanya.
-
Bukan senang nak memberi keyakinan kepada pesakit yang disahkan doktor sebagai bertahap 'paliatif'. Terpaksa konsisten dengan pelbagai kata-kata positif dan terapi jiwa. Kawan-kawan di luar pun banyak memberikan kata-kata positif kepada rakan kongsi aku. Ada yang meminjamkan buku terapi dan pelbagai makanan tambahan secara percuma. Masih ramai lagi saudara-saudara ku, rakan-rakan, teman-teman di luar yang ringan tulang membantu. Hanya ucapan terima kasih sahaja dapat ku lafazkan kepada mereka bagi mewakili rakan kongsi ku yang terlantar di hospital. Doa mereka Allah makbulkan, insyaa Allah.
-

3 comments:

  1. salam..sy dan keluarga mendoakn smoga cpat sembuh& diberikan Allah Ta'la kekuatan abg sekelurga.Banyakkan besabar.I.Allah keuatkan keyakina kita kpd Allah yg mana Setiap Penyakit ada Obatnya(al-hadis).Allah maha penyembuh..

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih TSN.blogspot.com. diatas doanya. Maaf lewat sangat saya jawab.

    ReplyDelete
  3. Ustaz, saja mo tanya kalau ada lagi Siri ke 4, siri Terakhir?

    ReplyDelete