-
*CORPEN DI PAGI RAYA A'ADHA
-
Aku masih menaruh harapan rakan kongsi ku akan sihat dan berfungsi semula di tengah-tengah masyarakat. Aku sedih bila doktor pakar kata:
-
"Penyakit Rakan kongsi awak ditahap terlambat dan tidak dapat disembuhkan lagi", kata doktor pakar.
-
Namun aku dan rakan kongsi terus mencari ubat alternatif sebagai sebahagian dari usaha terakhir mencuba membuktikan bahawa kata-kata doktor itu tidak semestinya tepat.
-
Beribu-ribu wang ringgit sudah dibelanjakan oleh rakan kongsi ku untuk membeli segala ubat yang boleh menyembuh termasuk berubat dengan menggunakan khidmat ustaz selama 40 kali. Rakan kongsiku dah berulang-kali masuk hospital Likas, SMC, hospital Refflesia dan klinik, untuk mendapatkan rawatan daripada pakar. Disamping tidak putus-putus mengadu kepada Allah serta memohon kesembuhan daripada Allah. Setiap kali selepas solat, aku menadah tangan memohon kepada Allah supaya rakan kongsi ini sembuh daripada penyakitnya.
-
"Ya Allah aku memohon kepada Mu agar dapat menyembuhkan penyakit yang dialami oleh Rakan Kongsi ku ............. sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh". Demikianlah bunyi doa ku setiap kali selepas solat dengan harapan Allah akan menyembuhkan penyakit rakan kongsi ku. Aku yakin Allah mendengar doa ku. Kekadang airmata bercucuran mengenangkan rakan kongsi ku sedang menghadapi saat-saat genting dalam hidupnya.
-
"Bersabarlah... dan teruskan berdoa, solat hajat serta membaca Al-Quran sebagai terapi hati yang lara", bisik ku cuba memberikan ketenangan kepada rakan kongsi ku. Pada masa aku cuba mententeramkan hati rakan kongsi ku, sebak di dada mulai terasa malah aku pula yang tak dapat menahan hiba. Aku terkenangkan semua kebaikannya terhadap ku selama ini. Pelbagai 'flash-back' bermain di minda ku menyebabkan airmata berlinang terutamanya bila rakan ini berada di hospital sendirian.
-
Paling menyedihkan ialah, dikala umat islam sedunia bergembira menyambut Aidil Adha pada 27.11.2009, rakan kongsi ku pula menyambut Aidil Adha di Hospital SMC. Pada pagi raya, selepas solat Aidil Adha di masjid, aku membawa anak-anaknya (empat semuanya) berhari raya di hospital SMC sambil membawa kueh raya dan minuman. Setibanya kami di SMC, kami naik di tingkat dua untuk masuk bilik nombor 209. Pak guard pula tidak membenarkan kami masuk dengan alasan bukan masa melawat.
-
"Kalau mau jumpa hanya seorang sahaja boleh masuk", katanya.
-
Aku sangat kecewa kerana saat meraikan Aidil Adha, Pak Guard pula tak bagi masuk sekadar nak bersalaman dengan anak-anaknya di pagi raya.
-
"Kenapa kalau kumpulan lain boleh masuk dan nyanyi-nyanyi dalam wad di luar waktu melawat dan kenapa cuti umum masa hari raya kami tak boleh masuk?", aku cuba-cuba mencabar pak guard.
-
Namun, aku tak berani bertindak keterlaluan kerana Pak Guard hanya menjalankan tugasnya. Aku menelefon rakan kongsi supaya keluar dari wad. Dalam keadaan sakit-sakit, rakan kongsi keluar dari wad berpakaian pesakit. Orang yang dipeluknya dulu ialah anak lelakinya yang bungsu baru berusia 5 tahun. Sekali lagi bercucuran airmata aku melihat pelukan erat dari orang tua kepada anaknya. 'Hujan lebat' membasahi pipi kesemua anak-anaknya. Aku tak akan membiarkan emosi berterusan lalu mengajak rakan kongsi turun berhari raya di kantin SMC.
-
Alhamdulillah, anak-anak turut bergembira berjumpa dengan orang tua mereka. Hilang sakit seketika. Setelah hampir setengah jam bersama, kami harus beredar segera kerana takut doktor mencari di wad. Kami pun beredar pulang dengan perasaan pilu dan sayu meraikan Aidil Adha di hospital SMC buat pertama kalinya.
-
-
*Nota: 'Coretan Pendek' (CORPEN) - DBP jangan marah.
-
-
Siapa nama rakan kongsi tu?
ReplyDeleteT.Kasih Nurin. Insyaa Allah... dihujung siri tulisan ini ada jawapannya. Namun, tak pasti lagi bila siri ini akan berakhir.
ReplyDelete