WHATS ON

2017 - VISIT TAMBUNAN YEAR
SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

29 January 2012

MAT JALI (PADUKA MAT SALLEH) MATI DI PATAU PROPER? - SIRI 1

Atas: Paduka Mat salleh

Atas: Kota Mat salleh di Tambunan

Pada tahun 1964, umur saya baru 7 tahun dan berada di darjah satu. Saya mulai masuk sekolah semasa berusia 5 tahun tanpa berdaftar. Zaman dulu, guru kelas tidak kesah sangat budak dibawah umur masuk sekolah. Sekarang budak berumur 5 dan 6 tahun sudah masuk tadika. Dalam umur yang masih muda, saya diajar oleh ibu saya cara berdikari seperti masak nasi dan goreng telur dan sayur untuk dimakan ketika tiada seorang pun berada di rumah. Sebenarnya, ibu saya tidak mengajar pun cara-cara masak tetapi saya sendiri melihat cara ibu saya memasak. Saya juga belajar bagaimana menjahit (bahasa dusun 'ampung') seluar saya yang koyak dengan menggunakan jarum tangan. Inilah 'survival' saya diperingkat kanak-kanak. Malah banyak cerita dongeng dan cerita rakyat yang saya pernah dengar semasa kanak-kanak dulu masih segar dalam ingatan saya sehingga sekarang.
 
Di zaman kanak-kanak ini saya suka meneroka di seluruh pelusuk kampung. Bahasa dusun bilang 'minsandayang'. Salah satu kegemaran zaman kanak-kanak dulu ialah belajar silat dan belajar ilmu batin. Ayah saya tidak bersekolah secara formal tetapi boleh membaca dan menulis. Banyak sekali catatannya yang saya baca. Antaranya ialah catatan pelbagai mentera ilmu batin. Salah satu catatan ilmu batin ada menyebut 'Mas Sali (Mat Jali)'. Ketika itu saya tidak tahu siapa itu Mat Jali. Saya ingin tahu lebih lanjut mengenai Mat Jali. Saya mulai membuka soalan kepada orang-orang tua yang sudah lanjut usia.

Saya bertanya kepada aman (pak cik) Uliti (Ketua Kampung Patau), aman Yajuni (org veteren Kampung Patau), aman Amuru (penduduk Kg Patau yang hidup sezaman Mat Salleh) dan mereka tidak sempat menceritakan mengenai riwayat Mat Jali secara terperinci. Akhirnya, saya berjumpa dengan aki Sebintal di Patau Proper (di bawah kampung Narayat). Dalam usia muda, saya mulai meminati cerita 'doung-gulu' (cerita lama). Ketika saya berusia 7 tahun, aki (datuk) Sebintal berumur 76 tahun. Ini bermakna semasa Mat Jali meninggal dunia pada 1900, Aki Sebintal sudah berumur kira-kira 12 tahun. Pada masa umur 12 tahun, banyak perkara dan peristiwa yang dia masih ingat. Aki Sebintal menceritakan kepada saya bahawa Mat Jali mati di Patau Proper. Sambil menuding jarinya ke arah rumpunan bambu di lereng bukit, Aki Sobintal memberitahu saya bahawa Mat Jali mati di bawah rimbunan bambu atau 'koporingan'. Untuk kepastian, saya bertanya kepada Aki Sebintal.

"Macam mana Aki tahu mayat itu Mat Jali?".

Aki Sebintal jawab, "Mayat itu saya kenal kerana ada kubunya di sini (di Kampung Narayat). Dia selalu datang ke sini", katanya. Memang benar, di Kampung Narayat Patau ada kubunya tetapi saya masih tidak puas hati dengan jawapan itu lalu bertanya lagi.

"Ada apa-apa lagi bukti lain yang menyokong bahawa mayat itu Mat Jali punya?", tanya saya.
Aki Sebintal menjawab,

"Dari pakaiannya pun saya kenal. Mat Jali selalu pakai baju warna kehitam-hitaman dan kepalanya sentiasa berikat (serban) dan memakai topi hitam. Dulu, di kampung ini, hanya Mat Jali sahaja yg berpakaian baju begitu. Kami semua masih pakai baju 'sinonson' ", katanya aki Sabintal.

Aki Sabintal menuding jarinya ke arah pakaian sinonson yang masih tersangkut di tiang kayu rumahnya. Sinonson ialah baju tiada lengan yang diperbuat daripada kulit kayu.

Inilah mungkin bukti awal bahawa Mat Jali atau 'Paduka Mat Salleh' Pahlawan Sabah mati di Patau Proper. Zaman remaja saya pula, saya pernah mendengar cerita bahawa Mat Salleh tidak mati. Walaupun saya tidak bersetuju namun saya mendiamkan diri untuk mengelakkan pertelingkahan sesama kawan. Hari ini saya berani menjawab bahawa Mat Salleh telah mati bukan atas sebab penemuan cerita ini tetapi atas dasar beriman kepada Al-Quran yang berbunyi:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.” (Ali Imran: 185)

 
Cuma tiada siapa pun yang menemui kuburnya. Dan mungkin cerita ini boleh menyelesaikan misteri mengenai kematian Paduka Mat Salleh.
 
(Nak tahu cerita lanjut.... tunggu sambungan siri ke 2).

25 January 2012

Kristianisasi Menular Di Iraq

Kristianisasi Menular Di Iraq? Demikian catatan salah satu blog yg saya baca baru2 ini. Saya masuk blog itu lalu membuat komen spontan ini. Nota: komen ini tidak diedit kerana ia adalah komen spontan berdasarkan idea spontan beberapa minit.


"Apa kurangnya di Malaysia? Ulama kita sekarang sebuk berpolitik, ceramah sana-sini, kutuk sana-sini, tuduh rasuah sana-sini sehinggakan mengkafirkan orang lain. Dakwah kepada non-muslims terus dilupakan. Sesama islam pun tak bersatu walhal ILMU agama 'at fingertips'. Ustaz2 kita di sekolah dan universiti bukan ajar agama dengan betul kerana setiap kuliahnya mesti 'cornering' pi hudud untuk dipolitikkan dan akhirnya menghasut pelajarnya membenci kumpulan 'umarak' dan kerajaan. Berapa ramai ulama kita tak pernah berdiskusi dengan org kristian? Asyik2 kutip dana untuk mahad tahfiz dan sekolah pondok tapi dakwah kepada 'non-muslims' diketepikan. Ulama kita membiarkan dakwah kpd non muslims dikendalikan oleh org yg tak berapa mahir dalam ilmu agama. Bila si Jahil ini menyampaikan dakwah, kumpulan ulama ini juga yg memperlekehkan tapi ulama tak buat apa pun.

Satu lagi, walau pun ada ulama yg cuba2 berdakwah dengan non-muslims, cara mereka tak betul kerana ulama ini juga jahil dalam ilmu 'perbandingan agama' dan yg lebih teruk lagi 'jahil' dalam teknik dan strategi menyampaikan dakwah. Yang dia tahu sangat ialah dakwah bil lisan atau dakwah melalui pidato tetapi SANGAT lemah dalam dakwah 'bil hal' !!. Bercakap fasih dalam bahasa arab tetapi sebijik perkataan bahasa inggeris pun tak tahu. Kalau tahu pun slang englishnya macam filipina atau spanyol. Macammana nak berdakwah dan 'gain respact' dari non-muslims?

Sekarang ini kristianisasi menular di Iraq. Salah siapa sehingga US boleh masuk menawan Iraq? Semuanya kerana rakyat Iraq TAK bersatu.... macam di Malaysia ni dah lama berpecah-belah tapi ulama masih sibuk berpolitik untuk menumbangkan umarak dan 'less focus' kepada dakwah sebenar.

Ingatlah bahawa songkok setinggi mana pun, kopiah seputih mana pun, janggut sepanjang mana pun, buku2 agama di rumah sederet mana pun, ilmu menjulang setinggimana pun, dan serban setebal mana pun, tidak akan menjaminkan seseorang itu menjadi ahli syurga kalau tanggung-jawab dakwah diketepikan serta penyatuan ummah di abaikan".


Komen di atas adalah sekadar lontaran idea bertujuan untuk mengajak rakyat Malaysia dan ummah kembali 'bersatu'.


04 January 2012

JADUAL KELAS MUQADDAM USIA KOTA KINABALU

KEPADA SEMUA PELAJAR MUQADDAM DAN AL-QURAN USIA KOTA KINABALU, BERIKUT ADALAH JADUAL TERKINI KELAS BERMULA PADA 02.01.2012.


Kelas yang tidak termasuk dalam jadual di atas ialah 'Kursus Perubatan Islam' yang dianjurkan dari masa ke semasa mengikut jadual khas. Sementara itu kelas bagi pelajar di Surau Taman Kemajuan Likas tidak berubah iaitu pada setiap hari Khamis Petang jam 2.30 petang.

-