Pageshttps://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214808197358211&id=1824180469

WHATS ON

2017 - VISIT TAMBUNAN YEAR
SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

09 February 2009

HENINGNYA AIRMATA IBU

Tambunan, Jumaat 05.02.09:-

Apalah kena mengena cerita ini dengan tajuk?
Seronok juga dapat solat jumaat bersama dengan jemaah di Tambunan. Masjid Nurul Iman Tambunan tidak lagi sesunyi dulu. Saya lihat jemaahnya memenuhi sehingga ruang solat di luar masjid lebih-lebih lagi dengan kehadiran peserta PLKN dari Tanaki Tambunan. Sejuk mata saya melihat jemaah yang ramai. Dari segi jumlah jemaah, ianya jauh berbeza dengan jemaah 30 tahun yang lalu.
Saya menyaksikan perkembangan ini semenjak dari tahun 1973. Ketika itu, jumlah jemaah yang solat Jumaat hanyalah 12 orang. Jemaah ini pada mulanya bersolat Zohor di bangunan kecil USIA. Ketika itu solat zohor hampir masuk, datang seorang jemaah memberitahu bahawa boleh solat di masjid baru. Kami pun pindah dari bangunan USIA ke masjid baru di atas bukit bersebelahan dengan pejabat daerah. Di situlah kami (seramai 12 orang) solat zohor pada hari Jumaat buat pertama kalinya.

Hari ini, wajah masjid pekan Tambunan berubah menjadi lebih ceria dengan jemaah yang bertambah sehingga membolehkan solat Jumaat diadakan. Kekadang, masjid ini sunyi terutamanya dimusim cuti sekolah kerana ramai murid-murid, guru-guru serta pekerja pejabat yang balik kampung.

Pada Disember tahun 1973, sementara menunggu keputusan SRP, saya memohon izin dari ibu saya untuk meninggalkan Kg Patau, kampung saya, kerana teringin mengaji muqaddam di masjid pekan Tambunan. Ibu saya memberi kebenaran serta memberikan sedikit wang untuk tambang kenderaan pergi dan balik. Sesampai di pekan Tambunan, saya menumpang tidur di bangunan 'bangsal' yang sudah usang bersama dengan pelajar yang sedang bersekolah di SMK Tambunan. Tiada tilam dan tiada bantal hanya beralaskan tikar nipis. Walaupun dalam keadaan serba kurang, saya dapat mengharungi segala kesulitan dengan tenang dan sabar.

Bukan mudah nak balik kampung kerana kenderaan yang berulang-alik dari pekan Tambunan ke Kg Patau amat kurang. Kg Patau terletak kira-kira 10 kilometer dari masjid Tambunan. Jalanrayanya masih gravel dan berhabuk. Saya mengaji setiap malam selama dua minggu dengan ustaz Darbi Lubis, yang juga mudir SUI pekan Tambunan. Saya juga dapat berkenalan dengan ustaz Hadiq yang banyak memberi perangsang kepada saya untuk maju menjadi 'pejuang' agama islam di Tambunan. Semangat saya untuk berjuang mempelajari ilmu agama islam semakin tinggi. Alhamdulillah, selama dua minggu saya mengaji muqaddam, saya sudah boleh membaca surah-surah pendek. Tapi sayang sekali, saya tidak dapat menyambung pengajian muqaddam saya kerana terpaksa kembali semula ke sekolah di Semananjung Malaysia dalam tingkatan empat.

Kaki saya terus melangkah setapak demi setapak. Saya namakan perbuatan saya ini dengan istilah 'MARCH ON" yang bermakna 'move forward' seperti kawat seorang tentera, membena keyakinan diri dengan mengharungi segala cabaran serta liku-liku hidup. Mengambil sempena semangat 'move forward' inilah maka saya namakan tajuk blog ini dengan 'JJAMARCHON'. JJA ialah 'initial' nama saya manakala 'MARCHON' bererti 'maju kehadapan' seperti tentera terlatih dengan semangat juang yang tinggi. JJAMARCHON ialah kata yang selalu saya bisikan setiapkali saya menghadapi cabaran bertujuan untuk memotivasikan diri sendiri. Perkataan ini menggantikan kata-kata semangat 'membujur lalu melintang patah' yang menjadi inspirasi saya. Namun kesemua istilah ini tidak dapat mengatasi kata semangat 'HENINGNYA AIR MATA IBU' dan inilah kurniaan Allah swt kepada ibu ku, yang menjadi sumber inspirasiku. Saya sering mengeluarkan airmata terkenangkan pelbagai pengorbanan ibuku dalam memanusiakan aku. Saya juga sering menyaksikan airmata ibuku berderai sambil terus istiqamah berjuang membanting tulang semata-mata ingin melihat anak-anaknya terus berjaya dalam perjuangan menentang kerakusan badai yang kekadang menggunung tinggi menghambat dan menghimpit kehidupan kami dari multi-penjuru. Kerana 'HENINGNYA AIR MATA IBU', moga-moga saya terus istiqomah mengabdi diri kepada yang Maha Pencipta dengan sabar dan solat kerana ketenangan sebenar ada pada solat. "...and in prayers lies the coolness of my eyes and peace of mind" (...pada solat letaknya keheningan mata dan ketenangan fikiran). Inilah harapan ibuku setiapkali menitiskan airmatanya.

by: Janis J. bin Abdullah

No comments:

Post a Comment