MUKTAMAR
MAJLIS AMAL ISLAMI MALAYSIA 2016
25
Februari 2016
MEMBINA
KASATUAN SIKAP DALAM MENGHADAPI CABARAN SEMASA TERHADAP ISLAM DI MALAYSIA
Oleh
Tun Abdul
Hamid Mohamad
Tajuk ini
diberikan kepada saya. Saya tidak memindanya, tetapi saya cuba memadankannya
dengan apa yang saya hendak katakan.
Saya telah banyak kali menulis atau berucap mengenai perpaduan
orang Melayu/ Islam di Malaysia semenjak bulan April 2014 apabila tersiarnya
dan menjadi viralnya rencana yang saya tulis di Bilik Cempaka, Wad 28, Hospital
Kuala Lumpur sehingga kepada ucapan saya di Majlis Penganugerahan Tokoh Ma’al
Hijrah dalam bulan Oktober 2015. (Kesemuanya boleh didapati dalam laman web
saya). Hari ini saya akan memberi ringkasan point-point saya dan
mengembangkannya untuk menjadi asas penyatuan sikap semua pihak yang terlibat
untuk mencapai tujuan itu.
Dalam konteks Malaysia, Melayu dan Islam adalah synonymous. Apa yang menguntungkan orang
Melayu menguntungkan orang Islam. Apa yang merugikan orang Melayu merugikan
orang Islam. Demikianlah sebaliknya. Maka, apabila saya menggunakan salah satu
perkataan tersebut, mengikut konteknya, ia juga akan meliputi yang
lainnya. Kemuncak perpaduan orang Melayu adalah dalam tahun 1946. Pada
masa itu orang Melayu bersatu padu menentang Malayan Union. Orang Melayu
bersatu padu menentang ancaman pengganas Kominis. Orang Melayu juga bersatu
padu dalam pejuangan menuntut kemerdekaan. Walaupun pada masa itu orang Melayu
sudah berpecah kepada tiga buah parti politik nasional iaitu UMNO, Parti Negara
dan PAS, semuanya sekata dalam menuntut kemerdekaan.
Dalam tahun 1963, Konfrontasi Sukarno dan, dalam tahun 1965,
Malaysian Malaysia Lee Kuan Yew telah menyatupadukan orang Melayu. Dalam tahun
1969, peristiwa 13 Mei telah sekali lagi merapatkan perpaduan orang Melayu.
Satu “common factor” dalam keadaan-keadaan itu ialah orang
Melayu/Islam merasakan bahawa mereka berhadapan dengan ancaman dari luar.
Selepas
1969, negara menjadi lebih aman dan tenteram, kemajuan dan kamakmuran telah
mula dirasai, kampung telah bertukar wajah, hampir semua rumah sudah mempunyai
kereta dan banyak pula yang telah mempunyai anak yang berkelulusan atau berada
di universiti, hampir kesemuanya atas biasiswa kerajaan persekutuan, kerajaan
yang diterajui oleh UMNO dan BN, satu faktor yang kerapkali tidak diambil hirau
(“taken for granted.”)
Dalam
keadaan itu, anak-anak muda itu mula lupa asal usul mereka, mereka telah lupa
bahawa mereka baru keluar dari kampung satu atau dua generasi, malah ada yang
merasakan bahawa peruntukan-peruntukan perlembagaan dan dasar yang mengubah
nasib mereka itu sudah tidak perlu lagi. Ada pula yang terlalu taksub dengan
sesuatu yang bersifat kearaban, tanpa dapat membezakan di antara Arab dan
Islam, Shari’ah dan budaya, fakta dan pandangan.
Pemimpin-pemimpin Melayu dalam UMNO telah menjadi leka dan sombong
dengan kuasa dan kekayaan. Mereka merasakan bahawa UMNO akan kekal sebagai
parti pemerintah buat selama-lamanya. Mereka cemburu jika ada muka-muka baru
yang akan menandingi mereka. Maka UMNO menjadi ketandusan pemimpin dan reput
dari dalam. Rakyat hilang kepercayaan terhadap UMNO.
Orang Melayu yang berada di luar UMNO, antaranya kerana tidak
mendapat tempat dalam UMNO, mula nampak bayangan kekayaan jika berkuasa. Maka,
PKR mahu berkuasa tidak kira dengan apa juga caranya dan tidak kira apa yang
akan terjadi kepada bangsa, agama dan negara. PAS, terutama sekali golongan
“bukan ulamak” seperti jurutera dan doktor yang menyertai PAS kerana kesukaran
memecah banteng hierarchy UMNO,
juga telah mula nampak kemewahan yang boleh didapati melalui kuasa
pemerintahan. Kedua-dua parti itu sedar bahawa mereka tidak boleh berkuasa di
peringkat persekutuan tanpa sokongan parti orang bukan Melayu dan parti itu
adalah DAP. DAP dan orang Cina telah nampak peluang untuk memperalatkan orang
Melayu untuk memperkuatkan kedudukan mereka, dan sekali gus melemahkan
kedudukan orang Melayu.
Orang
Melayu dalam PKR seolah-olah tidak kisah manakala orang PAS seolah-olah tidak
dapat membaca keadaan itu. PAS berfikir dengan mentality Kelantan. Mereka lupa
bahawa paratusan orang bukan Melayu di negeri lain dan di Malaysia adalah jauh
lebih banyak daripada di Kelantan; bahawa orang Cina di Kelantan berlainan
daripada orang Cina di negeri-negeri lain (sebab bilangan mereka kecil); bahawa
di Kelantan, pada hakikatnya, hanya ada UMNO dan PAS, kedua-duanya Melayu dan
Islam (walaupun pada suatu masa PAS menidakkan keislaman UMNO, sekarang
nampaknya tidak lagi, Alhamdulillah) dan bahawa mentality pemimpin UMNO dan PAS
Kelantan adalah sama, ia itu mentalili “Kelantan adalah Kelantan” dan “Kelantan
dahulu”. Semasa berkempen di Kelantan, pemimpin-pemimpin UMNO pun memakai
kopiah putih! Maka, sama ada Kelantan diperintah oleh BN atau pembangkang tidak
ada beza kesannya kepada orang Melayu/Islam. Selain daripada itu
pemimpin-pemimpin PAS itu juga telah mula khayal dengan impian Putrajaya, pusat
pemerintahan negara yang, sebelumnya, hendak dilelongnya, jika menang
pilihanraya. Maka berlakulah kesepakatan di antara PKR, PAS dan DAP.
Saya telah berkata beberapa kali dan saya ulangi bahawa, hari ini,
orang Melayu/Islam di Malaysia sedang menghadapi “ancaman luar” yang paling serious dalam sejarah. Malangnya,
berlainan daripada di masa-masa lepas, orang Melayu tidak menyedarinya. Saya telah
berkata beberapa kali dan saya ulangi bahawa jika pakatan pembangkang berjaya
menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan, parti yang akan menjadi tunggak
(dominant) pakatan itu ialah DAP, bukan PKR dan bukan PAS; bahawa PKR atau PAS
tidak akan dapat mengawal cita-cita DAP seperti UMNO berjaya mengawal cita-cita
MCA dan Gerakan semenjak Merdeka dan bahawa satu perkara yang pasti berlaku
jika pakatan pembangkang menang di peringkat persekutuan ialah, hak,
kepentingan dan dedudukan orang Melayu dan Islam akan berkurangan. Sebab,
orang-orang Cina meninggalkan MCA dan Gerakan dan menyokong DAP sebab mereka
mahu lebih daripada apa yang telah mereka perolehi
melalui MCA dan Gerakan. Dari mana “yang lebih” itu akan datang jika tidak
daripada orang Melayu? Takkanlah itu pun orang Melayu tidak boleh fikir?
Tetapi Alhamdulillah, perubahan telah mula ternampak. PAS telah
menyingkirkan golongan “Mat Sabu”. Pakatan antara PAS dengan DAP nampaknya
telah berkecai. Pakatan dengan PKR pun nampaknya semakin renggang. Presiden
UMNO, Dato’ Seri Mohd. Najib dan Presiden PAS, Dato’ Abdul Hadi Awang telah
sama-sama menghadiri majlis yang sama dan berucap di majlis yang sama, Dato’
Seri Najib telah secara terbuka menghulurkan tangan kepada PAS untuk
berkerjasama malah ahli-ahli panel dalam muktamar ini pun terdiri daripada
pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS.
Nampaknya, kedua-dua pihak telah berada di garisan yang sama untuk
memulakan perjalanan. Sekarang kita perlu lihat apa halangan yang ada dan
bersama-sama bersedia untuk untuk mengatasinya.
Bagi
saya, yang pertama sekali, orang Melayu perlu berfikir. Fikir, bukan rasa,
bukan ingat. Kita hendaklah bermula dengan menggunakan perkataan “fikir”
sebagai kata kerja “Saya fikir” (seperti kita kata “I think” apabila bercakap
dalam bahasa Inggeris), bukan “Saya rasa” atau “Saya ingat”, akhirnya tiada
siapa yang fikir berkenaan isu semasa dalam konteks Malaysia hari ini dan
membuat keputusan yang bersesuaian dengan keadaan hari ini. Saya percaya ada
sebabnya mengapa Allah s.w.t. mengulangi ayat “Afalaata’qiluun” sebanyak 13
kali dalam Al-Qur’an. Mungkin ada pakar-pakar Al-Quran dalam muktamar ini yang
boleh memberi pencerahan kepada kita. Dalam konteks tertentu, perkataan “rasa”
dan “ingat” memang sesuai digunakan.
Kedua,
orang Melayu hendaklah membuang sifat hasad dengki sesama sendiri dan pada masa
yang sama terlalu sensitif terhadap perasaan orang bukan Melayu sehingga orang
bukan Melayu tidak perlu sensitif terhahap perasaan orang Melayu. Ditepuk
belakang dan dipuji sedikit, ada “ustaz-ustaz” yang sanggup menyamakan pemimpin
bukan Islam sekutu mereka sebagai “Khalifah Umar Ibni Abdul Aziz”, menyibar
cerita beliau akan memeluk agama Islam, malah mengangkat tangan mendoakannya!
Mentaliti itu hendaklah dikikis dari jiwa orang Melayu. Kita mesti ada harga
diri.
Ketiga,
orang Melayu perlu menumpukan fikiran dan tenaganya terhadap isu-isu pokok,
bukan yang remeh-temeh. Di awal abad ke 20, orang Melayu di Pulau Pinang
berpecah dua dan bermusuhan kerana permainan borea, satu kumpulan terkenal
dengan “Bendera Merah” dan satu lagi “Bendera Putih”. Mereka bergaduh atas nama
bendera mereka. Dalam tahun 1950an, orang Kelantan heboh dengan masalah hukum
air liur anjing, hingga satu muzakarah besar diadakan yang menemukan
ulamak-ulamak lulusan Al-Azhar dan Timur Tengah (yang dikenali sebagai “Kaum
Tua”) dengan graduan-graduan Darul Uloom Deoband, India, termasuk Dr.
Burhanuddin Al-Helmi (yang dikenali sebagai “Kaum Muda”). Dalam tahun 1970an
dan 1980an, umat Islam, terutama sekali di Pantai Timur Semenanjung Malaysia
berdepan pula dengan isu pengkafiran, dua Imam, pengharaman daging sembelihan
dan lain-lain kerana berada dalam parti politik yang berlainan. Dan seterusnya.
Kempat,
orang Melayu mesti sedar bahawa isu pokok yang menghadapi mereka sekarang ialah
untuk menyelamat kerajaan persekutuan yang diterajui oleh UMNO demi untuk
mempertahankan kedudukan agama Islam dan hak-hak keistimewaan orang Melayu.
Yang lainnya adalah secondary.
Hudud bukanlah isu pokok sekarang. Hudud bukanlah satu-satunya ukuran keislaman
sesebuah negara. Ia hanyalah satu jenis hukuman bagi kesalahan jenayah. Tidak
ada sebuah parti politik di dunia ini yang wujud semata-mata untuk
memperjuangkan pelaksanaan satu jenis hukuman jenayah. Biar apa pun, kerajaan
persekutuan yang diterajui oleh UMNO adalah gandingan yang terbaik untuk
pelaksanaan hudud, bukan pakatan pembangkang yang diterajui oleh DAP. Itu PAS
perlu sedar dan terangkan kepada ahli-ahlinya.
Kelima,
dengan berkerjasama di peringkat kerajaan, PAS boleh kekal sebagai PAS dan UMNO
boleh kekal sebagai UMNO. Malah PAS akan dapat menyertai kerajaan persekutuan.
Mungkin ada pemimpin-pemimpin pertengahan dalam UMNO yang takut kehilangan
peluang menjawat jawatan dalam kerajaan persekutuan, kepada PAS. Mereka perlu
fikir, mereka mahu hilang sedikit atau hilang semua? Mereka perlu bertanya diri
mereka sendiri untuk apa mereka menyertai UMNO? Adakah untuk kepentingan diri
semata-mata?
Keenam, mengenai UMNO. Saya telah berkata dan saya ulangi, sebagai
sebuah parti Melayu/Islam, UMNO berada di atas landasan yang betul. Masalahnya
adalah pemimpin-pemimpinnya. Persepsi rasuah yang tinggi di kalangan mereka,
isteri-isteri mereka yang berbelanja tidak sepadan dengan pendapatan rasmi
suami mereka, menjatuhkan imej pemimpin-pemimpin UMNO di mata rakyat. Lebih
menyedihkan ialah, dalam keadaan tenat yang UMNO berada sekarang, pada masa
pemimpin-pemimpin UMNO sepatutnya mengukuhkan parti, mereka bercakaran sesama
sendiri. Percayalah, semua itu adalah “alamat kiamat” sesebuah parti, jika
keadaan itu tidak diperbetulkan segera.
Saya percaya jika kesemua pihak memberi perhatian serius kepada
faktor-faktor yang saya sebut itu dan berusaha dengan ikhlas kearah perpaduan
dan/atau kerjasama, demi untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara, insya
Allah ia akan tercapai.
Ada orang berkata kepada saya, setelah membaca rencana-rencana
saya dia mengambil keputusan untuk mengundi BN dalam Pilihanraya Umum yang akan
datang. Tetapi, masalahnya dia tidak sukakan pemimpin tertentu. Pemimpin itu akan
menganggap undinya itu adalah undi untuk beliau, sedangkan itu bukan tujuannya.
Saya akui
itu adalah satu dilema. Tetapi, dalam keadaan yang kita hadapi sekarang, kita
perlu memberi tumpuan kepada ummah, bukan pemimpin. Pemimpin datang dan pergi,
ummah kekal. Ummah menentukan siapa pemimpin, bukan sebaliknya. Tidak ada
sesiapa yang lebih besar dari ummah, melainkan seorang Rasul. Seorang pemimpin
yang berjiwa besar juga sepatutnya tahu bila dia patut berundur.
Pertimbangannya ialah apabila dia sudah hilang credibility dan menjadi liability kepada parti dan demi kepentingan
agama, bangsa dan negara, bukan kepentingan diri. Maka, kita janganlah bakar
kapal kerana tidak sukakan nakhoda. Nakhoda janganlah membakar kapal kerana
tidak mahu melepaskan jawatan. Dan, janganlah ada pula orang yang kerana hendak
sangat menjadi nakhoda, hingga sanggup membakar kapal.
Setakat ini, dalam ucapan ini, saya tumpukan kepada kerjasama antara UMNO dan PAS di peringgkat persekutuan. Sekarang saya akan mengembangkan lingkarannya. Sebenarnya, jika kerjasama itu di antara UMNO (BN) dan PAS sahaja pun, ia boleh dikembangkan ke negeri-negeri. Jika demikian, Kelantan, Trengganu, Pahang, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor akan selamat.
Saya
tidak menyebut PKR kerana saya tidak nampak PKR, sebagai sebuah parti, pada
masa ini, boleh menyertai kerjasama ini. Lagi pula PKR tidak pernah berkata ia
memperjuangkan hak orang Melayu. Ia cuma memperjuangkan hak seorang Melayu, itu
pun jika orang itu masih menganggap fakta Melayunya itu masih relevan. Walau
bagaimana pun, saya minta pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PKR supaya
bertanya diri mereka sendiri: mereka berjuang untuk apa? Jika untuk mencapai
keadilan kepada pemimpin agung mereka, sebenarnya tidak ada ketidakadilan
dilakukan terhadapnya. Dia sahaja yang melaungkan ketidakadilan setiap kali
mahkamah membuat keputusan yang tidak memihak kepadanya. Jika keputusan itu
memihak kepadanya, dia diam. Saya ingin bertanya: siapa yang lebih layak untuk
membuat kenyataan ini daripada saya?
Sebenarnya,
perjuangan mereka hanya untuk mendapat kuasa tidak kira apa akibatnya kepada
hak, kepentingan dan kedudukan bangsa Malayu dan umat Islam. Tidakkah sudah
tiba masanya untuk pemimpin-pemimpin Melayu/Islam PKR berfikir semula dan
mengubah pendirian mereka demi untuk mempertahankan hak, kepentingan dan kedudukan
orang Melayu/Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan?
Demikian
juga NGO-NGO Melayu/Islam. Merka juga sepatutnya menyertai perpaduan ini untuk
mencapai tujuan yang sama. Pada masa yang sama, mereka patut bergabung sesama
sendiri, mengurangkan bilangan, menambahkan keahlian dan memperkuatkan
kedudukan, bukan masing-masing hanya menjaga periuk nasi sendiri, satu tabiat
yang perlu dikikis daripada jiwa orang Melayu.
Sebenarnya,
tidak ada apa-apa perbezaan prinsip atau ideology di antara semua
kempulan-kumpulan Melayu/Islam, baik parti politik atau NGO, yang boleh menjadi
halangan kepada perpaduan atau kerjasama di antara mereka. “Halangan” yang ada
hanyalah kepentingan diri: takut hilang pendapatan, jawatan dan kedudukan atau
takut tidak berpeluang mendapatnya. Sanggupkah mereka berjiwa besar dan
mengenepikan “halangan” itu?
Akhir
kata, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak juga patut sedar bahawa kedudukan
mereka dalam Perlembagaan adalah serupa dengan kedudukan orang Melayu. Jika
mereka mahu kedudukan mereka selamat, mereka hendaklah bersama-sama orang
Melayu, UMNO dan BN. Bahawa sebahagian daripada mereka beragama Kristian tidak
pernah menjadi masalah. Mereka boleh terus mengamalkan agama mereka seperti
biasa. Kita bantah penggunaan kalimah “Allah” dalam bible dan upacara agama dalam Bahasa
Melayu, terutama sekali di Semenanjung, kerana motifnya adalah untuk
mempengaruhi orang Melayu menganut agama Kristian setelah mereka gagal berbuat
demikian selama 500 tahun.
Kita
bukan hendak meminggir mana-mana kaum. Kita hanya hendak mempertahankan
peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang sedia ada. Malah, semua kaum sepatutnya
bersama-sama mempertahankan Perlembagaan kerana hanya dengan cara itu
perpaduan, harmoni, ketenteraman, kemajuan dan kemakmuran akan dapat
dikekalkan.
Saya telah berkata apa yang saya hendak katakan. Terserahlah
kepada pemimpin-pemimpin dan orang Melayu/Islam sama ada hendak menerima
pandangan saya atau tidak. Soalnya, apakah yang mereka lebih utamakan,
kepentingan diri atau ummah?
Sekian. Terima kasih.
tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me
NOTA:
Tulisan ini saya petik dari lamanweb Tun Abdul Hamid tanpa kebenaran beliau.
Saya petik semua tanpa mengubah apa-apa. Saya tertarik dengan hujjah penulisnya
yg membuat saya berfikir dan mungkin sangat berguna untuk perpaduan melayu/
islam. Fikir-fikirkan - Hj Janis Hj Abdullah
No comments:
Post a Comment