Pageshttps://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214808197358211&id=1824180469

WHATS ON

2017 - VISIT TAMBUNAN YEAR
SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

17 February 2012

JANGAN MUDAH MENGKAFIRKAN ORANG LAIN

Dua perkataan yang saya takut gunakan ialah 'kafir' dan 'jahil'. Menjahilkan seseorang memang mudah tetapi atas ukuran apa?. Jahil ini dipandang melalui mata manusia yang membuat 'judgement' kepada seseorang mengikut pandangannya. Melalui pandangan seseorang maka terbitlah pelbagai 'andaian' mengikut perspektif masing-masing. Orang putih selalu mengingatkan kita dengan perkataan 'dont judge the book by its cover' yang bererti 'jangan membuat penilain buku berdasarkan kulitnya'.

Dalam surah Al-Fatihah, Allah mengingatkan kita 'maaliki yau mid-diin' ertinya 'You (Allah) are the Master of the day of judgment'. Ertinya, hanya Allah sahaja yang 'raja' dalam menghakimi dihari pembalasan. Dengan ini, perkataan 'jahil' yang sebenar hanya layak dinilai oleh Allah. Penilaian manusia selalunya tidak tepat atas sebab keterbatasan ilmunya yang Allah sifatkan sebagai 'hanya setitis dari air lautan'. Sebab itu para ilmuan perlu berhati-hati menggunakan perkataan seperti 'kafir' atau 'jahil' apatah lagi melabelkan orang lain sebagai 'jahil' atau 'kafir'.

Kisah yang saya paparkan di bawah ini adalah kisah benar yang cukup menginsafkan saya.

'Suatu ketika ada seorang perempuan tua warga kampung yang kuat minum arak. Pagi petang minum arak. Tidur dalam keadaan mabuk. Bagun pagi terus bersarapan dengan arak.

Suatu hari saya dan ibu saya (kami) mengajaknya ke rumah berhari raya. Beliau memenuhi pelawaan kami. Kami hidangkan kuih-muih dan minuman panas. Beliau tidak membantah lalu makan dan minum. Beliau juga tidak berani meminta minuman kegemaranya iaitu arak. Mungkin kerana rasa hormat kepada kami yang beragama islam.

Dipendekkan cerita, apabila beliau pulang, kami menghadiahkan tudung kecil kepadanya dan memberikan sedikit ole-ole iaitu bungkusan kuih raya, duit raya dan sedikit lauk kegemarannya. Sebelum meninggalkan rumah kami, saya tanya beliau samada mau masuk islam. Katanya dengan nada keras 'tidak! tidak! tidak!.............. (ada kata-katanya yang lain sebagai sambungan untuk menyokong kenapa beliau tidak mahu masuk islam)'. Memang pun saya tidak 'expact' beliau akan masuk islam dengan labelnya sebagai pemabuk 24 jam.

Raya tahun kedua, saya dan ibu saya sekali lagi menjemput beliau ke rumah dan dijamu dengan kuih raya dan minuman panas. Sebelum pulang sekali lagi dibekalkan dengan ole-ole raya dan mengajaknya masuk islam. Jawapannya pun sama dengan tahun lalu cuma kali ini nada keras menolak tidak lagi kedengaran.

Raya tahun ketiga, sekali lagi saya dan ibu saya menjemput lebih awal iaitu seminggu sebelum raya. Beliau menyatakan persetujuan untuk datang ke rumah kami. Setibanya raya, kami tunggu-tunggu tapi tak muncul-muncul. Berulang-kali menjenguk dari tingkap tapi bayang-bayangnya tidak kelihatan. Hari pertama dan kedua pun beliau tidak muncul. Hari ketiga, saya mengambil keputusan kembali ke Kota Kinabalu kerana cuti raya saya tidak panjang. Sebelum balik ke Kota Kinabalu, saya singgah di rumahnya dengan membawa sedikit ole-ole raya dan lauk kegemarannya.


Setiba di rumahnya, saya lihat beliau duduk di dalam keadaan berbaju kurung yang kemas dengan rambut rapi disikat ke belakang. Rupa-rupanya sudah tiga hari beliau bersedia untuk berkunjung ke rumah kami tetapi tidak dapat berjalan kerana kakinya sakit bengkak macam penyakit biri-biri. Kami bercerita sekejap sambil bersimpati dengan keadaan kesihatannya. Sebelum saya meninggalkan rumahnya, saya sempat bertanya soalan samada sudah buat keputusan untuk masuk islam. Sebenarnya tiada unsur-unsur paksaan semasa mengajak beliau masuk islam.

"Tengoklah lepas mengetam padi baru saya buat keputusan. Saya tunggu dulu anak-anak saya balik kampung dari Brunei, Sipitang dan Labuan. Saya minta tolong diorang dulu mengetam padi", katanya.

Dengan semangat yang tinggi, saya meminta keluarga saya dan umat islam di kampung, membantu beliau mengetam padi sehingga selesai. Seminggu kemudian saya pulang dari Kota Kinabalu sengaja mahu 'follow-up' setelah selesai mengetam padi. Sebelum balik ke Kota Kinabalu, saya tinggalkan pesan kepada beliau iaitu jika beliau sudah mempunyai keputusan maka saya mencadangkan agar upacara pengislaman itu di buat dihujung minggu supaya saya boleh pulang tanpa memohon cuti. Tiga hari kemudian (hari Rabu), saya mendapat panggilan telefon dari beliau.


"Saya mau masuk islam sekarang!", katanya ringkas.

"ALLAHU AKBAR", tersembur perkataan ini dari mulut saya dengan iringan air mata. Saya kelam-kabut sedikit kerana masa itu hari bekerja dan saya tidak dapat bercuti untuk mengurus pengislamannya. Saya menelefon pejabat agama Tambunan meminta bantuan. Alhamdulillah, lebih 40 orang datang menyaksikan pengislamannya tanpa kehadiran saya.

Dihujung minggu, setelah masuk islam, saya melawat beliau di rumahnya. Saya lihat wajah beliau berubah menjadi putih berseri dan ceria. Sakit bengkak di kaki pun sembuh. Enam bulan kemudian beliau meninggal dunia dan jenazahnya diurus secara islam oleh anaknya di Sipitang. Alhamdulillah meninggal dalam islam. Allahu Akhbar! '

Cerita ini menginsafkan saya agar jangan mudah meng'kafir'kan orang selagi orang itu masih bernyawa. Orang ini meninggal dunia dengan dosa lampau terhapus. Kita tak tahu nasib kita. Kita belum diuji Allah. Yang paling ditakuti ialah semasa hayat, kita begitu gah mengharungi segala cabaran tetapi dihujung hayat kita kecundang atau termakan godaan syaitan akibat dari keceluparan dan perbuatan kita memperlekehkan orang lain dengan mengkafirkan serta menjahilkan orang lain sehingga menyakiti hati mereka.

'The morale of the story' ialah, jangan kita mudah memanggil seseorang itu 'jahil' atau mengkafirkan orang lain kerana bukan milik kita sewenang-wenangnya membuat 'judgement' terhadap seseorang.

Mari kita sama-sama merenungi terjemahan surah Al-Hujurat ayat 11 dalam bahasa inggeris dan melayu:


English translations:

"O you who believe, no men should ever scoff at other men. May be, the latter are better than the former. Nor should women (ever scoff) at other women. May be, the latter women are better than the former ones. And do not find fault with one another, nor call one another with bad nicknames. Bad is the name of sinfulness after embracing Faith. If anyone does not repent, then such people are the wrongdoers"

Terjemahan Bahasa Melayu:


"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."

Mari kita renungi hadis ini:

Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Mencemuh dan melabel orang lain sebagai jahil bukan satu kelayakan bagi sesama manusia. Begitu juga melabel non-muslims sebagai 'kafir' pun bahaya kerana kita takut non-muslim yang kita labelkan kafir lebih dulu masuk syurga dari kita seperti paparan kisah di atas yang saya pernah alami.

Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment