Pageshttps://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214808197358211&id=1824180469

WHATS ON

2017 - VISIT TAMBUNAN YEAR
SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

19 November 2009

RAMAI UMAT ISLAM TIDAK PANDAI MENGGUNAKAN TANDAS MASJID

-
Di mana-mana masjid saya berkunjung, saya mengambil kesempatan melawat tandas atau bilik air. Sangat menyedihkan sekali, masih ramai umat Islam yang tidak tahu menggunakan tandas dan bilik air masjid-masjid dan surau. Sering diperingatkan bahawa surau atau masjid adalah milik bersama dan semestinyalah bersama-sama menjaga kebersihan tandas dan bilik air.

-

Tazkirah demi tazkirah di sampaikankan tapi masih ramai yang menutup mata, menutup telinga tidak mendengar seruan para ustaz, para penceramah dan para akademik. Peringatan demi peringatan diberikan mengenai kebersihan tandas dan bilik air tapi masih juga tidak berkesan. "Kebersihan itu sebahagian daripada iman". Kata-kata ini hanya tinggal ungkapan tetapi tidak dipraktikkan oleh kebanyakan umat Islam. Mengikut kajian rambang saya pelbagai pihak perlu terlibat sama menangani masalah ini seperti berikut:

-

Institusi Agama:

-

Bermula daripada pembenaan masjid, pemilihan jenis 'tiles' kebanyakkannya tidak sesuai. Ada tiles yang licin dan sangat bahaya kepada pengunjung terutamanya bila basah. Ini sering berlaku di masjid-masjid besar yang menyaksikan ramai pengunjung tergelincir di bilik wudu dan tandas. Suatu ketika di salah sebuah masjid di Kota Kinabalu, ada seorang jemaah (pesakit) yang baru keluar dari hospital, ingin solat tetapi terjatuh tergelincir di masjid yang lantainya licin. Akibatnya, beliau tidak dapat mengerjakan solat kerana kakinya terseliuh. Ada tiles yang kasar tetapi sukar dibersihkan. Terpaksa menggunakan 'pressure pump' untuk mencuci dan menyembur. Kalau mesin penyembur itu rosak maka lantai akan terus kotor.

-

Pemasangan alat-alat yang tidak berkualiti juga menjadi faktor kerosakan alat-alat tandas. Ada kepala paip yang cepat rosak, tercabut dan pecah. Kontraktor yang memasang peralatan tandas itu tidak dipantau dengan rapi. Mereka memantau kerja-kerja kontraktor pembenaan secara 'remote control' dari jauh. Akibatnya peralatan yang berkualiti 'inferior' akan berlaku. Lantai juga tidak rata menyebabkan air dan kekotoran bertakung. Apabila kurang pemantauan, maka kontraktor menyiapkan kerja-kerja mereka sekadar melepaskan batuk di tangga.

-

Pihak Pentadbir masjid/Surau:

-

Pentadbir masjid/surau juga tidak serius menjaga pekerja yang membersih tandas dan bilik air atau tempat berwudhu. Masalah ini wujud kerana pemantau tandas tidak selalu melawat dan menilai tandas. Sistem pemantauan sangat lemah menyebabkan pembersih tidak kerap membuat pembersihan. Petugas yang ditugaskan tidak membersih secara berterusan. Kadang-kadang dicuci hanya sekali setiap hari. Cara mencuci juga tidak bersistem. Kemungkinan alat pencuci bukan sahaja tidak cukup tetapi juga tidak sesuai.

-

Pihak Pengguna tandas:

-

Bagaimana canggih sekali peralatan tandas, jika pengguna tidak tahu mengguna dengan bijak maka peralatan tersebut akan rosak. Pengguna juga masuk tandas tanpa membuka kasut atau selipar. Selipar yang disediakan untuk tandas pun boleh hilang dalam masa sehari. Yang menyakitkan mata memandang, orang dewasa yang berjemaah di masjid pun curi-curi pakai kasut masuk tandas. Biasanya ini berlaku jika tandas itu tiada pengguna lain atau tiada penjaga. Bila ditegur, pengguna itu akan marah-marah dan kadang-kadang berakhir dengan pertangkaran. Pembersih tandas merasa berang kerana mereka bertungkus-lumus membersih tandas tetapi pengguna mengotorkannya dengan sewenang-wenangnya.

-

Lebih teruk dari itu, ada pengguna tandas yang mandi di bilik air serta menaburkan tisu atau kertas pembalut sabun di dalam mangkuk tandas. Ada juga yang merokok di dalam dan membuang abu rokok bertaburan mengotorkan tandas. Malah ada yang membuang pontong rokok dan kotak rokok dalam tandas. Akibatnya tandas akan tersumbat. Bila tandas dibaiki, terdapat banyak pontong rokok, kotak rokok serta plastik dan kertas yang menyebabkan saluran tandas tandas tersumbat.

-

Ada juga pengguna yang membuang najis tanpa mencuci mangkuk tandas tersebut. Kalau pun 'flush' digunakan, mereka menarik tali 'flush' dengan kuat sehinggakan tali putus serta alat patah dan tidak lagi berfungsi. Alat-alat yang dipasang dalam tandas juga kerap hilang malah hos plastik pun lesap oleh tangan-tangan pengguna yang tidak berhati-perut.

-

Terdapat juga pengguna tandas masjid yang mencuci najis anak-anak mereka di tandas dan 'pampers' yang berisi najis busuk dibuang dalam tong sampah masjid. Bila malam, anjing masuk tandas dan membongkar pampers itu dan sekali lagi najis kanak-kanak tadi akan bertaburan di lantai. Bila pelawat atau jemaah berkunjung ke tandas, mereka melihat sampah bertaburan dengan najis lalu melemparkan kutukan kepada pengurusan masjid. Ibubapa singgah di masjid semata-mata 'menyimpan' najis anak mereka di tandas masjid!.

-

Kesimpulannya:

-

Masih ramai umat Islam yang tidak pandai menjaga kebersihan tandas awam dan tandas masjid-masjid serta surau-surau. Mereka ini tidak dididik dari rumah menyebabkan perangai buruk mereka terbawa-bawa hingga ke masjid. Pekerja pula, bukanlah terlatih dalam penjagaan kebersihan tandas.

-

Pihak Institusi Agama pula perlu memantau kerja-kerja kontraktor dengan ketatnya kerana kita tidak ingin melihat pengguna menggunakan saluran undang-undang menyaman Institusi berkenan kerana 'negligence' dalam pembenaan masjid yang tidak mengikut piawaian serta tidak memenuhi 'Health, Safety and Envirnoment' (HSE).

-

Saya masih ingat sewaktu saya melangkah sekolah 'mission' dalam 'bridge class', seorang guru ditugaskan mengajar kami (pelajar baru) bagaimana menggunakan tandas dengan sebaik-baiknya. Mungkin ada komen mengatakan "Oh itu dulu" atau "Itu untuk orang kampung", dan sebagainya tetapi percayalah, sehingga sekarang peristiwa tahun 1970 itu saya ingat sebagai pendidikan awal mengenai kebersihan tandas. Memori negatif saya merakamkan peristiwa pada Disember 1971 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, rombongan seramai 17 orang telah singgah di Tapah Perak untuk membuang air kecil di tandas awam. Saya terkejut melihat najis bergelimpangan di sekeliling tandas awam tersebut sehinggakan saya tidak jadi membuang air kecil kerana setiap kawasan yang saya pijak terdapat najis sana-sini. Peristiwa ini telah berlalu lebih 40 tahun yang lalu tetapi susah dipadam dalam memori.

-

Kita lupakan kisah di Tapah dan kembali ke sekolah awal saya iaitu sekolah 'mission'. Pendidikan awal itu masih saya amalkan sehingga sekarang dan telah pun menjadi 'rutin' kerja saya semasa saya berkhidmat di syarikat korporat selama 20 tahun. Setiap kali saya membuat lawatan-kerja, maka tempat yang saya mula-mula lawati ialah tandas sehinggakan saya digelar 'Eksekutif Tandas'. Hari ini, pendidikan awal di sekolah tidak lagi dibuat di sekolah-sekolah menengah kerana sikap 'taking for granted' sehinggakan pelajar tidak prihatin dengan penggunaan tandas dengan baik. Bila anak-anak ini meningkat dewasa dan menjadi ibubapa, mereka juga tidak boleh menjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka.

-

Penceramah agama, ketua pentadbir, pengurus, ibubapa dan orang awam jangan hanya pandai mengatakan "kebersihan itu sebahagian daripada iman" jika tidak disusuli dengan amalan.

-

7 comments:

  1. saya pun mo tengok jugak tandas masjid lain. kenapa kerja semudah ABC tak boleh buat?

    ReplyDelete
  2. kalau macam ni.. saya pun mau bersihkan tandas rumah saya la nanti masuk blog pula. apa pun umat islam mesti sedar tanggung jawab kebersihan masjid.

    ReplyDelete
  3. Mintak blog ini siarkan foto tandas yang kotor untuk iktibar.

    ReplyDelete
  4. betul jugak kata blog ni... perlu ada kursus membersih tandas.

    ReplyDelete
  5. umat Islam yang tak tahu menjaga tandas masjid ke tanas awam ke.. baik tak beri kebenaran masuk tandas. Biar diorang bungkus najis sendiri dan bawa pulang jer..

    ReplyDelete
  6. nora (shah alam)03 December, 2009 11:01

    Tandas di super market pun sama bau sama kotor.

    ReplyDelete
  7. It is good to highlight all this so that more enforcement from everbody.

    ReplyDelete