Sedikit maklumat mengenai pengajaran mukaddam:
Mengaji ini tidaklah susah dan tidak juga mudah sangat. Untuk mengaji, tiada jalan pintas. Sering kita dengar ada kaedah yang pantas dan pintas. Sebenarnya, tidak ada cara pintas untuk mengaji Alif Ba Ta. Sekadar hanya boleh membaca tidak cukup tanpa mengetahui pelbagai cara bacaan garib, cara wakaf dengan betul, bertajwid dan lain-lain. Saya telah mengikuti pelbagai kursus kaedah belajar dan mengajar mukaddam, maka saya membuat kesimpulan bahawa sebenarnya tiada jalan pintas. Berikut adalah pelbagai kaedah pembelajaran mukaddam yang pernah saya ikuti:
1. Mukaddam biasa pimpinan beberapa ustaz
2. Hattawiyyah
3. Iqra
4. Qiraati
5. Ar Ruhul Al Amin
6. Bagdadi
7. Dan beberapa lagi kaedah yang lain
Kesemua kaedah di atas mempunyai kekuatan (strength) masing-masing dan saling lengkap-melengkapi antara satu dengan yang lain. Tahniah kepada guru-guru pengasas pelbagai kaedah di atas kerana dengan sumbangan mereka maka saya dapat mempelajari pelbagai kaedah yang banyak. Ini banyak membantu saya menyediakan modul sendiri yang sistematik. Penyediaan modul ini dalam bentuk ‘power point’ memakan masa yang panjang kerana memerlukan kemahiran IT. Kebaikan modul ini ialah ia boleh di 'update' pada bila-bila masa. Wanita yang uzur boleh mengikuti kelas tanpa menyentuh Al-Quran. Mereka hanya melihat power-point di skrin dan ini memudahkan pelajar mengikuti kelas mukaddam walaupun dalam keadaan uzur.
Penggunaan IT (LCD projector, note book, perisian power point) ini amat penting untuk tenaga pengajar dalam mempelbagaikan kaedah belajar mukaddam. Namun masih ramai tenaga pengajar yang menggunakan kaedah konvensional. Kedua-dua kaedah moden dan konyensionl ini bertujuan sama iaitu membantu pelajar supaya boleh membaca Al-Quran. Namun ada juga tenaga pengajar yang mempertikaikan kaedah moden. Malah saya menerima komen dari segelintir tenaga pengajar yang mengatakan kaedah moden ini tidak diguna-pakai pada zaman Rasulullah. Bagi saya, apa pun kaedah (konvensional atau kaedah moden dengan penggunaan IT) boleh diguna asalkan kaedah itu boleh membantu dan memudahkan pelajar memahami pengajaran mukaddam. Pelajar saya yang pernah mengikuti kelas bimbingan saya lebih sesuai membuat penilaian kaedah yang saya gunakan. Setakat ini, belum ada komen negatif dari pelajar saya melainkan positif belaka. Ini memberi kekuatan kepada saya supaya terus berjuang membasmi buta huruf Al-Quran dengan menggunakan kedua-dua kaedah konyensional dan kaedah moden..
Kini genap 24 tahun saya membuka kelas mukaddam. Selama 24 tahun membuka kelas, pelbagai pengalaman pahit dan manis saya tempuhi. Rahsia kelas saya bertahan sehingga hari ini ialah keikhlasan disokong dengan modul yang sistematik serta cara penyampaian yang jovial (santai-santai dan tiada tekanan). Dengan keikhlasan inilah maka alhamdulillah pelajar tidak cepat bosan. Malah pelajar saya semakin bertambah atau sekurang-kurangnya 'maintained'. Dulu saya belajar mukaddam secara ‘talaqi musyfahah’ dan terasa juga ego saya tergugat kerana kawan-kawan lain (termasuk kakitangan bawahan saya) boleh mendengar saya tidak fasih membaca Quran. Merah padam muka saya bila kerani saya mendengar bacaan saya. Perasaan malu membaca quran di hadapan mereka yang agak pandai membaca, menyebabkan sesekali saya ponteng kelas mengaji yang di anjurkan oleh ketua jabatan saya. Walaupun ponteng tetapi secara senyap-senyap saya mencari tenaga pengajar di luar yang boleh mengajar saya di rumah. Apabila saya boleh membaca Quran dan mengajar pula, saya menggunakan teknik yang sama iaitu minta setiap pelajar membaca secara bergilir-gilir (baca seorang-seorang). Jumlah pelajar semakin lama semakin berkurangan kerana mungkin mereka bosan atau malu membaca Al-Quran di hadapan kawan-kawan mereka. Pengalaman ini membuatkan saya mencari kaedah lain supaya pelajar tidak berkurangan.
Alhamdulillah, kaedah berkesan dapat ditemui dan diguna-pakai sehingga hari ini. Ada juga beberapa organisasi meminta saya membuka kelas di tempat mereka tetapi saya belum dapat memenuhi permintaan mereka kerana masa yang terluang amat terhad. Insyaa Allah, saya sedang mencari beberapa pelajar untuk dilatih sebagai 'future trainers' seperti yang kami (Tuan Hj Masri Yusoff, Pengurus Besar Petronas Wilayah Sabah Dan WP Labuan, serta selaku Penasihat Badan Kebajikan Islam Petronas Sabah dan kami pekerjanya) pernah buat pada tahun 1990an.